PONTIAN, 16 Nov: Pontian menjadi daerah terakhir dalam lawatan kerja YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad sempena penyediaan Belanjawan Johor 2022 yang akan dibentangkan Khamis ini.

Kunjungan ke daerah ini dimulakan di Surau Al Wadud, Tanjung Piai bagi mendengar taklimat dan Penyerahan Projek Jalan Akses Pelancongan ke Tanjung Piai oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor.

Lawatan beliau diteruskan ke Taman Rekreasi Rambah bagi merasmikan Perletakan Batu Asas Pusat Astronomi Johor.

YAB Menteri Besar turut menyampaikan beberapa bantuan termasuk sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Yayasan Perbandaran Pontian kepada asnaf, infaq Yayasan Perbandaran Pontian kepada Tabung Wakaf An Nur dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta menyampaikan hadiah kepada pemenang Program Rakan Taman.

Beliau dan rombongan kemudiannya ke bangunan Majlis Perbandaran Pontian bagi mendengar taklimat mengenai dasar Belanjawan Johor 2022 yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.

YAB Menteri Besar turut mendengar taklimat tentang Projek Pembangunan RP 1: RMK 12 yang disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Johor, Tuan Haji Rahman Mohd. Din dan Hala Tuju Pembangunan Daerah Pontian yang disampaikan oleh Pegawai Daerah, Tuan Haji Rafi Abdullah.

Selepas itu, beliau dan rombongan bergerak ke Arked Mara: Medan Arena untuk jamuan tengah hari serta sesi ramah mesra bersama-sama para peniaga di situ.

Lawatan diteruskan ke Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Parit Makuasang, Benut untuk taklimat projek oleh Pengarah Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor dan Pentadbir Tanah Daerah Pontian.

YAB Menteri Besar turut menandatangani plak perasmian nama taman serta melawat rumah contoh dan kemudianya dibawa ke Pasaraya Target, Benut untuk meninjau proses transaksi baucar barangan keperluan Kasih Johor.

Lokasi terakhir lawatan YAB Menteri Besar ke daerah Pontian adalah di Dataran Dato’ Jalok untuk melawat Expo Mini berkenaan aktiviti perikanan dan akuakultur serta perindustrian ringan dan pemprosesan makanan.

Beliau turut menandatangani plak penyerahan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Seri Bugis dan SAKJ Lebai Mohamed Yacob serta menyempurnakan sesi penyerahan Smart Card i-Agro Bank kepada Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Benut, replika cek Bantuan Ikan Sangkar di Tapak Pameran Perikanan serta mendengar taklimat Projek Menaik Taraf Dataran Dato’ Jalok oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Mohd. Ezzuddin Sanusi.

Di lokasi yang sama, YAB Menteri Besar turut menyempurnakan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Kepimpinan Daerah sempena Belanjawan Johor 2022.

Turut diadakan, simbolik penyerahan sekolah agama daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) kepada Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Pontian, penyerahan Digital Map Jalan Kampung Pejabat Daerah dan replika cek Kasih Johor kepada para pegawai daerah.

Kongsi berita ini