PONTIAN, 16 November: Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad menyifatkan daerah Pontian sebagai pelengkap bagi lawatan beliau ke daerah-daerah dalam menyediakan Belanjawan Johor 2022 yang terbaik untuk rakyat.
Beliau berkata, lawatan ke daerah itu bukanlah penutup, tetapi merupakan pelengkap dalam usaha memastikan Belanjawan Johor 2022 lebih menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai keperluan, khususnya di daerah-daerah di negeri ini.
“Ramai sedia maklum bahawa COVID-19 memang memberi impak yang sangat besar kepada kita. Belanjawan Johor 2022 ini sangat penting untuk membolehkan kita bangkit kembali sama ada daripada segi sektor ekonomi dan sosial.
“Justeru, saya bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor turun berjumpa dengan kempimpinan daerah supaya kita dapat melihat Belanjawan Johor 2022 dan mengenal pasti potensi yang terdapat di daerah-daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sesi Libat Urus YAB Menteri Besar Johor Bersama Kepimpinan Daerah-Daerah di Dataran Dato’ Jalok, Benut, di sini semalam.
-
Hasni Mohammad menyampaikan replika cek Kasih Johor kepada para pegawai daerah pada Majlis Penutupan Sesi Libat Urus YAB Menteri Besar Johor Bersama Kepimpinan Daerah-Daerah di Dataran Dato’ Jalok, Benut, di sini semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar menambah, selesai mengadakan lawatan itu, beliau dapat mengenal pasti potensi yang terdapat di daerah-daerah di negeri ini.
“Setiap daerah mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri seperti di daerah Muar yang bakal menerima pelaburan besar dalam sektor pembinaan dan membaiki kapal.
“Selain itu, kita dapat lihat daerah Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan beberapa daerah lain seperti Kluang yang terkenal dengan lokasi untuk belia-belia beriadah.
“Saya berharap kepimpinan daerah bersedia dan dapat menerima pembangunan ini di daerah masing-masing,” katanya. - Makmur Johor.


