KOTA ISKANDAR, 29 Mei: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac yang kemudian disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun ini tidak menghalang rakyat menderma darah dalam memastikan bekalannya sentiasa mencukupi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, sepanjang tempoh PKP hingga 23 Mei lalu, sebanyak 10,669 beg darah telah berjaya dikumpulkan di seluruh Pusat Pendermaan Darah Negeri Johor.

“Kutipan darah tersebut turut memberi manfaat kepada beberapa hospital negeri yang mengalami kekurangan bekalan sepanjang tempoh PKP. 

“Ini adalah hasil kerjasama para penderma darah yang lebih dikenali sebagai “Johor Blood Warrior”, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang sentiasa menawarkan bantuan dari segi penganjuran kempen derma darah dan penyebaran maklumat meskipun mereka terpaksa mengorbankan masa, wang dan tenaga demi membantu pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika PKP dan PKPB, proses pendermaan darah sentiasa dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Orang awam yang datang untuk menderma darah dikehendaki mematuhi penjarakan sosial, pemakaian topeng muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta saringan di pintu masuk dengan senarai semak kesihatan dan pemeriksaan suhu badan.

“Sepanjang tempoh PKPB, waktu operasi pusat-pusat pendermaan darah di seluruh negeri bermula jam 8 pagi hingga 4:30 petang pada hari Ahad hingga Rabu, manakala Khamis bermula 8 pagi hingga 2:30 petang.

“Operasi pusat-pusat pendermaan darah ini ditutup pada hari Jumaat dan pada hari kelepasan am,” katanya.

YB Vidyananthan turut menyeru orang ramai supaya terus memainkan peranan menyahut kempen derma darah bagi memastikan bekalannya mencukupi.

“Kempen derma darah juga aktif dijalankan di seluruh negeri. Bagi mendapatkan maklumat terkini  mengenai kempen derma darah, orang ramai  boleh melayari laman Facebook ‘Jadual Kempen Derma Darah Johor Bahru’.

“Diharapkan momentum pendermaan darah di  Johor ini sentiasa berada dalam keadaan stabil tidak kira apa jua keadaan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini