PONTIAN, 27 November: Peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini menyebabkan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura tertangguh.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, peningkatan kes yang turut berlaku di Johor telah menyebabkan beberapa daerah dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) perlu menjalani kuarantin.

“Kita memang mahu membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi Johor bergantung kepada jiran, menerusi peluang pekerjaan dan ekonomi rentas sempadan, itu kelebihan Johor.

“Maka, apabila meningkatnya kes-kes COVID-19, tertangguhlah usaha kita untuk membuka sempadan tersebut,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengambil kira saranan Kerajaan Negeri Johor melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersasar di negeri ini bagi membolehkan sektor ekonomi terus beroperasi.

Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan.

“Pada peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagih-agihkan kepada individu yang ‘berehat sebentar’ sebelum kembali bekerja keesokannya.

“Inisiatif ini selain bagi meringankan beban mereka, ia juga merupakan satu bentuk penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini