ISKANDAR PUTERI, 8 April: Kerajaan Negeri Johor akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan peluang dalam kalangan kontraktor di negeri ini, khususnya kategori G1 hingga G7.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan tersebut dilakukan ekoran terdapat rungutan dalam kalangan kontraktor di negeri ini yang mendakwa projek kerajaan diberikan secara konsensi.
“Saya memberi jaminan bahawa bukanlah niat Kerajaan Negeri untuk mengurangkan peluang kepada kontraktor-kontraktor apabila projek pelaksanaan dan penyelenggaran jalan negeri mahupun kampung secara konsensi.
-
Hasni Mohammad (tengah) menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (mou) pada majlis “Johor Construction Awards” di Fraser Place Puteri Harbour, Iskandar Puteri, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
“Memorandum daripada pihak kontraktor telahpun dihantar. Kerajaan akan meneliti permintaan yang telah dinyatakan dan akan menambah baik kekurangan yang ada pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis ‘Johor Construction Awards’ Bagi Tahun 2020 anjuran Johor Centre for Construction Development (JCCD) di Fraser Place Puteri Harbour, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Tuan Haji Mohd. Solihan Badri.
-
Hasni Mohammad menerima cenderamata daripada Pegawai Eksekutif JCCD, Mohd Ekmaluddin Ishak pada Majlis Majlis ‘Johor Construction Awards’ Bagi Tahun 2020 anjuran Johor Centre for Construction Development (JCCD) di Fraser Place Puteri Harbour, Iskandar Puteri. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Pada majlis tersebut, beberapa kontraktor tempatan di negeri ini menerima anugerah atas perkhidmatan cemerlang mereka.
YAB Menteri Besar menambah, penganjuran majlis itu juga merupakan salah satu usaha untuk merealisasikan inisiatif Johor yang lebih berdaya saing dan berkemajuan berdasarkan kajian Pelan Induk Pembangunan Kontraktor Negeri Johor.
“Pelan induk tersebut diupayakan bagi meningkatkan kemampuan kontraktor menerusi Program Peningkatan Kompetensi Kontraktor Johor dan Pembangunan Aplikasi Monitor Johor.
“Selain itu, pelan ini juga melibatkan pembangunan Aplikasi Mudah Alih Sistem Penarafan dan Penilaian Kontraktor Negeri Johor,” katanya. – Makmur Johor
