JOHOR BAHRU, 6 April: Program Denai Sungai Kebangsaan yang bertujuan menjaga kelestarian sumber air di negeri ini perlu mendapat penglibatan daripada semua pihak dalam usaha memastikan program itu tidak menjadi program gajah putih. 

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, kerjasama semua agensi, termasuk penglibatan daripada komuniti penting dalam memastikan objektif program, iaitu meningkatkan kualiti air di sungai-sungai utama di negeri ini tercapai.

”Seperti sedia maklum, program ini memerlukan penglibatan daripada komuniti supaya ia tidak menjadi program gajah putih, kefahaman masyarakat  mengenai pentingnya sumber air diharapkan dapat diterapkan menerusi program ini.

”Kita (Kerajaan Negeri Johor) tidak mahu sekiranya kita membangunkan program ini dengan menyediakan fasiliti terbaik, tetapi masyarakat masih tidak memberi kerjasama, program ini akhirnya tidak dapat direalisasikan” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Johor di Loji Air Skudai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan dan Ketua Eksekutif Ranhill SAJ, Tuan Haji Sr. Nor Ifuan Md. Nor.

YAB Menteri Besar berbesar hati apabila pihak Ranhill SAJ bersetuju untuk membangunkan laluan denai sungai sepanjang empat kilometer di sepanjang Sungai Skudai.

”Laluan tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Ranhill SAJ. Sekiranya program ini berjaya, saya yakin kita mampu meningkatkan kualiti air Sungai Skudai daripada tahap tiga menjadi tahap dua,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini