JOHOR BAHRU, 9 September: Pejabat Menteri Besar Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyalurkan sumbangan peralatan perubatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi mempertingkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di negeri Johor.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sumbangan tersebut bagi membolehkan hospital-hospital di bawah JKNJ merawat, khususnya pesakit COVID-19 yang berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Bagi Pejabat Menteri Besar Johor, sumbangan terdiri daripada mesin elektrokardiogram (ECG), video laryngoscope, troli pengangkut pesakit dan peralatan-peralatan lain, manakala YRZSNJ pula menyumbang dulang perubatan, dulang kecemasan, pembersih udara dan 10,000 unit pelitup muka jenis N95.

”Kesemua peralatan ini akan disalurkan ke lima buah hospital di negeri ini termasuk Hospital Kota Tinggi, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, Hospital Pontian, Hospital Mersing dan Hospital Tangkak,” katanya.

Menurutnya, sumbangan peralatan perubatan, masing-masing bernilai RM300,000 dan RM100,000 daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan YRZSNJ.

Semua sumbangan berkenaan disampaikan oleh YAB Menteri Besar kepada Pengarah JKNJ, Dato’ Dr. Aman Rabu di Hospital Permai, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim.

Selain peralatan perubatan, Pejabat Menteri Besar Johor juga menyumbang sebanyak RM300,000 bagi menambah baik urusan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

”Sumbangan ini bagi membolehkan 11 CAC di seluruh negeri ini dilaksanakan secara virtual, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di CAC.

”Kesemua ini adalah sebahagian usaha untuk memastikan kemudahan kesihatan mencukupi sebelum negeri ini beralih ke fasa seterusnya,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini