PONTIAN, 31 Julai: Majlis Daerah Pontian (MDP) kini dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

Pengisytiharan majlis bersejarah itu dibuatkan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad di lobi MPPn, di sini hari ini. 

“Adalah dengan ini saya isytiharkan bahawa Majlis Daerah Pontian mulai hari ini menjadi sebuah perbandaran bernama dan bergelar Majlis Perbandaran Pontian dengan mempunyai segala taraf kebebasan dan hak istimewa yang tertentu bagi sebuah perbandaran. 

“Bersempena dengan pengisytiharan ini juga, peruntukan sebanyak RM1 juta disediakan bagi program Bakul Prihatin Majlis Perbandaran Pontian. Tahniah diucapkan kepada Majlis Perbandaran Pontian,” katanya.

Beliau berkata, penaiktarafan itu membolehkan MPPn memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat di daerah itu.

“Apabila Majlis Daerah Pontian ini diisytiharkan sebagai majlis perbandaran, ia bererti perkhidmatan kepada masyarakat di Pontian ini akan dapat dipertingkatkan dan pembangunan dapat dijalankan dengan lebih besar dan menyeluruh.

“Kita juga yakin dan percaya dengan naik taraf ini juga dapat meningkatkan hasil majlis dan pada masa yang sama kemudahan-kemudahan asas akan dapat ditambah baik dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengenai program Bakul Prihatin itu, YAB Menteri Besar menyifatkan inisiatif MPPn tersebut bagi menghargai dan membantu penduduk di daerah ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Bakul makanan dengan nilai RM1 juta ini adalah satu usaha yang dibuat oleh MPPn sebagai satu penghargaan, rasa terima kasih kepada pembayar cukai dan penduduk di sini juga menunjukkan bahawa MPPn telah memulakan satu langkah awal yang cukup bermakna kerana kita tahu banyak pihak yang terjejas.

“Dengan bantuan bakul makanan ini saya percaya ia akan dapat meringankan sedikit beban yang sama-sama kita hadapi pada waktu ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Ayub Jamil bagi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 untuk bantuan ‘one-off’ sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Masyarakat dan Modal Insan (pengusaha salun dan gunting rambut).

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Salehuddin Hassan; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Rafi Abdullah dan Yang Dipertua MPPn, Mohd. Ezzuddin Sanusi. – Makmur Johor.

Kongsi berita ini