PONTIAN, 31 Julai: Semua pihak perlu kembali merujuk Perlembagaan Negara dalam mentafsir situasi politik yang melanda negara ketika ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sebarang kekeliruan dan persoalan yag timbul pada masa ini seharusnya tidak berlaku kerana negara sudah lama mencapai kemerdekaan.

“Jadi, sekiranya berlaku sebarang persoalan yang timbul, kita harus balik semula ke pangkal jalan. Kita harus balik semula kepada perlembagaan dan juga undang-undang negara.

“Kita sudah jauh dan sudah lama merdeka. Jadi, sepatutnya tidak timbul sebarang persoalan ataupun keraguan di pihak mana-mana pun menterjemahkan perlembagaan dan juga undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pengisytiharan Majlis Daerah Pontian (MDP) menjadi Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, kerajaan ketika ini seharusnya menumpukan keseluruhan perkara berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negara.

“Saya rasa dalam keadaan sekarang ini yang perlu sangat kita beri penelitian ialah tentang apa yang patut dibuat oleh kerajaan secara keseluruhan.

“Sama ada pengisytiharan darurat ataupun perjalanan sidang Parlimen mahupun pentadbiran kerajaan negeri dengan merujuk kepada perlembagaan dan undang-undang negara,”katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Ayub Jamil; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Salehuddin Hassan; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Rafi Abdullah dan Yang Dipertua MPPn, Mohd. Ezzuddin Sanusi.- Makmur Johor.

Kongsi berita ini