PONTIAN, 25 September: Menteri besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad mengulangi cadangan supaya pembukaan sempadan Malaysia-Singapura secara harian dapat dimulakan dengan membenarkan golongan pelajar untuk berulang-alik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, selain dua skim iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), kebenaran pelajar untuk berulang-alik bagi mendapatkan pendidikan di negeri ini merupakan satu langkah awal yang baik kepada pembukaan sempadan secara menyeluruh.
”Penutupan pintu sempadan sebelum ini menyebabkan lebih 900 pelajar di Singapura yang belajar di sebuah kolej swasta di negeri ini tidak dapat berbuat demikian.
”Mungkin ada perkara yang boleh dibuat secara atas talian dan ada perkara yang memerlukan pelajar itu sendiri hadir ke pusat pengajian, justeru saya merasakan kebenaran ini merupakan langkah awal yang baik selain RGL dan PCA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian Berhad di Restoran Lee Kee, di sini hari ini.
-
Menteri besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad menerima buah tangan daripada Pengerusi Koperasi Nelayan Pontian Berhad, Haji Osman Abu Bakar
YAB Datuk Haji Hasni menambah, beliau turut bersetuju sekiranya kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura dapat mencapai kata sepakat untuk mewujudkan gelembung perjalanan.
”Saya yakin pihak kementerian kesihatan bagi kedua-dua negara dapat mencapai kata sepakat dalam mengkoordinasikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan orang ramai berulang-alik.
”Keputusan bukan sahaja mampu memberi impak besar kepada ekonomi bagi kedua-dua negara malah ia merangkumi kehidupan lebih 100,000 rakyat di negeri ini yang bekerja di Singapura,” katanya.
