JOHOR BAHRU, 1 Mac: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau yang tiba di Pusat Pemberian Vaksin Johor Bahru di Dewan Muafakat Johor di Taman Adda, dekat sini pada pukul 8 pagi diiringi kepimpinan Kerajaan Negeri Johor dan ketua jabatan di negeri ini.

Sejurus tiba YAB Menteri Besar dibawa untuk menandatangani surat persetujuan pemberian vaksin sebelum menonton video pendidikan kesihatan berkaitan COVID-19.

Proses suntikan vaksin kepada YAB Menteri Besar dikendalikan oleh Ketua Jururawat Pejabat Kesihatan Johor Bahru, Badariah Mohd. Khalid yang berpengalaman lebih 27 tahun dalam bidang kejururawatan.

Turut menerima suntikan vaksinasi ialah ketua-ketua jabatan pelbagai agensi barisan hadapan termasuk Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Aman Rabu.

Selesai menerima suntikan vaksin, YAB Menteri Besar kemudiannya ditempatkan di bilik pemerhatian kira-kira 30 minit sebelum beredar meninggalkan pusat vaksinasi berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi.  – Makmur Johor

Kongsi berita ini