ISKANDAR PUTERI: 20 Januari - Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad menegaskan bahawa urusan pentadbiran dan semua program yang dirancang kerajaan negeri tidak akan terjejas walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.
Menurutnya, pelaksanaan semua perancangan termasuk pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan Johor 2022 tidak akan tergendala.
“Saya ingin memberi jaminan kepada semua yang hadir pagi ini, sekiranya PRN diadakan, pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terganggu, program kerajaan berjalan seperti dirancang dan tidak mungkin ia akan merencatkan apa yang telah dirancang dalam Belanjawan 2022 kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini.
Yang trurut hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad; Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Abdul Rahman Salleh. - Makmur Johor



