KOTA ISKANDAR, 25 April: Kerajaan Negeri Johor mendapati trend kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura semakin meningkat apabila lebih 800 orang individu memasuki negeri ini berbanding purata 300 orang dalam sehari sejak 22 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Vidyananthan A/L Ramananthan berkata, berkata trend kenaikan itu dilihat menerusi dua pintu masuk darat utama negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Kita dapati, bilangan, bilangan yang ramai pada satu masa yang sama ini telah menjadikan waktu menunggu yang lebih lama untuk agensi terlibat melakukan saringan dan penempatan di pusat kuarantin.

“Sehingga semalam, Negeri Johor telah mula menggunakan pusat kuarantin di luar daerah Johor Bahru dan Kulai, iaitu di daerah Kota Tinggi dan Batu Pahat bagi menempatkan mereka yang pulang dari Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Melihat kepada kenaikan trend itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura supaya merancang waktu untuk balik ke Malaysia supaya dapat  mengelakkan waktu menunggu yang lebih lama daripada biasa.

“Saya juga berharap individu yang berhajat untuk melakukan perjalanan masuk ke negara ini agar melakukan persiapan awal sewajarnya,” katanya.

YB Vidyananthan menambah, menurut laporan harian stesen kuarantin yang diterima menerusi Pusat Kawalan Bencana (PKOB) negeri mendapati, sehingga pukul 10 malam, semalam (24 April 2020), seramai 5,816 individu telah ditempatkan 46 stesen kuarantin yang telah diaktifkan di negeri ini.

“Jumlah terbabit melibatkan 5,732 orang awam temasuk warga Malaysia yang bekerja di Singapura, 65 pelajar yang pulang ke Malaysia dan 19 tabligh.

“Daripada jumlah keseluruhan terbabit, seramai 5,788 individu dikategorikan sebagai Individu Dalam Pemerhatian (PUS) manakala 28 yang lain dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI),” katanya.

Kongsi berita ini