PAGOH, 27 Jun: Kerajaan Negeri Johor akan memberikan sepenuh kerjasama dalam usaha merealisasikan pembangunan di Pagoh, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir supaya berjalan dengan lancar.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, walaupun berdepan dengan cabaran semasa termasuk wabak COVID-19, Kerajaan Negeri Johor akan memastikan program pembangunan yang telah disusun dapat direalisasikan.

“Saya melihat sejak awal pagi Yang Amat Berhormat (YAB) Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin begitu serius dalam memastikan pembangunan di kawasan Pagoh dengan kewujudan Hab Pendidikannya.

”Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, kita sedia memberi sepenuh kerjasama. Saya juga sebentar tadi telah menerima taklimat bahawa di kawasan Gambir ini akan diwujudkan sebuah kawasan pembangunan ekonomi setempat.

”Kerajaan Negeri sedia membantu hasrat YAB Perdana Menteri dalam memastikan kawasan pembangunan ekonomi yang dikenali sebagai Gambir Industrial Park ini dapat direalisasikan,” katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini hari ini.

Terdahulu, YAB Datuk Hasni bersama-sama YAB Tan Sri Muhyiddin membuat lawatan ke De Muara Enterprise, iaitu syarikat yang membuat pelbagai pes seperti mi bandung, mi rebus dan soto di kawasan Gambir, 

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor juga  menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan yang begitu komited dalam memastikan pemulihan ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

”Di peringkat negeri Johor, kita juga mengikut contoh yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Inisiatif Ihsan Johor. Kerajaan Negeri Johor telah membelanjakan sebanyak RM31.3 juta dalam siri pertama dan kedua inisiatif ini.

”Seperti sedia maklum, pakej ini memberi penekanan dan tumpuan kepada rakyat di negeri ini yang tidak mendapat bantuan Prihatin. Bantuan ini juga sebagai tambahan terhadap pakej yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini