KOTA ISKANDAR, 2 Mac: Kerajaan Negeri Johor menerusi PIJ Holdings Sdn. Bhd., akan menanggung sepenuhnya kos guaman perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli kediaman yang akan dibina di Taman Perbadanan Islam (TPI) Pontian.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, pembinaan TPI Pontian membabitkan 427 unit Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) pelbagai kategori di kawasan seluas 14.56 hektar.

“Kediaman itu meliputi Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) jenis A sebanyak 46 unit berharga RM42,000, RMBJ jenis B (64 unit) berharga RM80,000 dan RMBJ jenis C (57 unit) berharga RM150,000.

“Turut dibina rumah teres dua tingkat sederhana sebanyak 254 unit berharga RM290,000 serta kedai kos sederhana sebanyak enam unit. Projek ini akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan PIJ Holdings akan bertindak sebagai agensi pelaksana serta pengurus projek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Projek TPI Pontian yang diadakan secara maya di Kota Iskandar dan disaksikan di tapak projek di Pontian, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil dan Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Ramlee A. Rahman.

YAB Menteri Besar berkata, Pontian yang meliputi kawasan seluas 91,943 ekar dan mempunyai 11 mukim dilihat sebagai salah sebuah daerah yang penting dalam negeri Johor.

”Pembangunan daerah Pontian dijangka akan lebih pesat apabila kerja-kerja pembinaan Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer yang akan menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin, Pontian. Ia dijangka siap pada Oktober tahun depan.

“Perjalanan penduduk dari Pontian ke Johor Bahru yang memakan masa satu jam akan dipendekkan menjadi 15 minit sahaja apabila Jambatan Sungai Pulai itu siap kelak,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini