KOTA ISKANDAR, 9 Sept: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi menjayakan platform e-dagang, Johor E-Marketplace 2.0 untuk menggalakkan pemasaran secara digital kepada golongan usahawan di negeri ini.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, inisiatif Johor E-Marketplace 1.0 yang dilaksanakan sebelum ini telah terbukti berjaya menghasilkan pulangan yang tinggi kepada usahawan yang menyertainya.
Menurutnya, menerusi Johor E-Marketplace 1.0 yang berakhir pada 31 Disember 2020, platform itu telah mencatatkan jualan lebih RM7 juta dengan menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak 14 kali ganda hasil suntikan rangsangan e-dagang daripada Kerajaan Negeri Johor yang juga berjumlah RM500,000.
“Nyata usaha ini telah memberi manfaat besar kepada lebih 18,000 perniagaan di Johor dan daripada jumlah itu, 13,400 merupakan penjual yang baharu mengenali medium e-dagang.
“Pada tahun ini juga sebanyak RM500,000 disediakan dalam bentuk baucar diskaun yang boleh dimanfaatkan oleh para penjual dan pembeli yang menyertai Johor E-Marketplace 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Johor E-Marketplace 2.0 bagi tahun 2021 secara maya, di sini hari ini.
YAB Menteri Besar berkata, kempen yang berlangsung mulai 15 Julai lalu hingga 15 November ini telah memberi manfaat kepada lebih 8,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Johor dengan nilai jualan melebihi RM7 juta, setakat ini.
“Saya ingin memberi jaminan, Kerajaan Negeri Johor juga komited dalam mempercepatkan penerimaan atau perubahan ke arah digitalisasi PKS menerusi pelbagai kaedah, termasuk peruntukan tambahan yang boleh kita berikan.
“Saya percaya kempen ini boleh memberi impak yang besar kepada pengusaha PKS Johor, terutamanya dalam memberi pulangan yang lebih tinggi dalam pelaburan yang dibuat oleh semua usahawan,” katanya sambil mengakui kesedaran pengguna dan peniaga terhadap perniagaan dalam talian semakin meningkat kesan daripada pandemik COVID-19.
Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak dalam menyediakan platform pemasaran secara digital kepada golongan usahawan merupakan usaha dan pendekatan yang relevan serta sesuai pada masanya.
“Justeru, fungsi dan peranan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) juga perlu ditambah baik supaya dapat menjadi pemangkin bagi Agenda Transformasi Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
“Saya bersama-sama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Datuk Mohd. Izhar Ahmad akan memberi sepenuh tumpuan terhadap perkara ini yang akan kita tingkatkan dan perluaskan, sekali gus memajukan usahawan kita berlandaskan perniagaan secara dalam talian,” katanya. - Makmur Johor



