JOHOR BAHRU, 9 September: Jumlah individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini adalah lebih besar berbanding data yang diperolehi.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, antara faktor yang mempengaruhi jumlah tersebut termasuklah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Katanya, selain itu, individu yang mendapatkan vaksin menerusi pengamal perubatan di klinik swasta turut menyebabkan data sebenar penerima vaksin di negeri ini tidak dapat direkodkan.

Menurutnya, individu yang menerima vaksin di Singapura mempunyai bilangan yang ramai dan telah berdaftar awal menerusi MySejahtera, namun mereka telah divaksin di Singapura menyebabkan proses suntikan itu tidak dapat dilengkapkan menerusi MySejahtera.

”Permasalahan ini merupakan cabaran bagi Kerajaan Negeri Johor. Justeru, penyelarasan sedang dibuat oleh pihak yang terlibat dan jumlah jumlah sebenar penerima vaksin akan dapat diperolehi.

“Dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000 individu yang sebelum ini berdaftar untuk mendapatkan vaksin di Johor tetapi telah divaksin di Singapura, itu satu jumlah besar tetapi tidak termasuk dalam MySejahtera namun angka rakyat dewasa perlu divaksin turut melibatkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peralatan perubatan daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) di Hospital Permai, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar menambah, beberapa PPV di negeri ini juga telah mengamalkan konsep ‘walk in’ bagi membolehkan lebih ramai individu menerima vaksin dalam masa terdekat.

”Justeru, individu-individu yang mempunyai masalah pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera tidak akan menjadi permasalahan untuk mendapatkan vaksin mereka,” katanya. – Makmur Johor.

Habis.

Kongsi berita ini