BENUT, 10 Mac: Pembangunan projek perumahan bagi golongan yang membina penempatan di tanah-tanah milik kerajaan akan diperluaskan di seluruh negeri, sekali gus membolehkan mereka memiliki kediaman lebih selesa dan selamat.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, adalah menjadi komitmen kerajaan untuk menyediakan penempatan yang bukan sahaja selamat, malah lengkap dengan pelbagai kemudahan lain.
“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita berusaha untuk memberikan lebih banyak kemudahan kepada rakyat.
“Komitmen Kerajaan Negeri dan juga Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan tapak di satu-satu kawsan baharu yang difikirkan lebih sesuai dan lebih selesa daripada keadaan asal di mana tuan-tuan berada.
“Kemudahan-kemudahan lain juga akan dibina seperti seperti surau, dewan dan sebagainya adalah usaha Kementerian Pembangunan luar Bandar dalam mewujudkan satu penempatan yang boleh dapat mewujudkan hubungan rapat dalam komuniti yang ditempatkan di situ,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya lebih banyak projek dapat dilaksanakan di Johor.
“Saya berhasrat untuk meluaskan program ini di masa akan datang mungkin hari ini di Benut, tetapi kita juga ada kawasan-kawasan di seluruh negeri Johor yang mana mereka menumpang sementara di tanah-tanah kerajaan.
“Mungkin saya akan berbincang dengan kementerian menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, bagaimana kita akan dapat memberi peluang seperti ini kepada seluruh rakyat Johor yang kini masih lagi berada di kawasan-kawasan tanah rizab kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng), Benut, di sini, semalam.
-
Hasni Mohammad ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng) di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Pontian di sini, semalam. - Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
-
Hasni Mohammad bergambar bersama penerima plot rumah selepas Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng) di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Pontian di sini, semalam. - Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
Sebanyak 170 unit kediaman berkembar dibina di Taman Dato’ Hajah Fatimah bagi menempatkan penduduk dari tiga kawasan perkampungan, iaitu Kampung Nelayan, Kampung Seri Tanjung dan Kampung Sanglang.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pegawai Daerah Pontian, Tuan Haji Mohd. Rafi Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Mohd. Ezzudin Sanusi. - Makmur Johor



