BENUT, 6 Mac: Johor akan terus memastikan program-program ‘upskilling’, ‘reskilling’ dan ‘cross-skilling’ dalam bidang kemahiran bagi menyediakan modal insan yang mampu bersaing dalam apa jua keadaan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pelbagai peruntukan bagi program-program berkenaan telah disalurkan sama ada menerusi Kerajaan Negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai contoh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah memperuntukkan RM22 juta bagi program yang memberi ruang dan peluang kepada golongan usahawan mikro di negeri ini untuk memperoleh kemahiran lain selain memperkukuhkan kemahiran (dalam bidang) yang mereka ceburi.

“Itu antara usaha-usaha selain daripada menghulurkan bantuan, menyediakan bantuan untuk menggerakkan program-program yang dianjurkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pada hari ini.

“Program-program latihan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ini untuk membolehkan mereka dalam tempoh dua hingga empat minggu mendapatkan latihan dan kemahiran, sekali gus mewujudkan ruang dan peluang untuk menambah sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@Pontian yang disempurnakan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, di sini hari ini.

Kolej Komuniti Satelit@Pontian ini akan menumpukan terhadap pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) sepenuhnya dengan memberi fokus kepada peserta terdiri daripada golongan B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas, belia dan golongan belia tercicir daripada pekerjaan, pendidikan dan latihan formal (NEET).

Yang turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Seri Ahmad Maslan. - Makmur Johor

Kongsi berita ini