KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 menepati sasaran yang ditetapkan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan menyelaras, memantau serta melaporkan status pelaksanaan bantuan yang disalurkan.

“Jawatankuasa ini akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi mendapatkan status kesemua inisiatif PRE Ihsan Johor 3.0 dan seterusnya melaporkannya kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, sebuah jawatankuasa penasihat turut akan ditubuhkan bagi memperkukuhkan pengurusan dan tindakan Kerajaan Negeri dalam pengurusan pandemik menggunakan sains, data dan teknologi.

“Kerajaan Negeri mengakui bahawa sains, data dan teknologi merupakan ramuan utama dalam memastikan keberkesanan usaha melawan COVID-19.

“Dalam mendepani cabaran baharu pasca COVID-19, Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa penasihat yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, mantan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya serta Adjunct Professor di Yale University, Amerika Syarikat,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini