JOHOR BAHRU, 13 Jun: Pembukaan Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini merupakan langkah tepat bagi menangani kes COVID-19 yang agak tinggi di negeri ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri Johor merakamkan setinggi penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mewujudkan hospital tersebut.

“Pembukaan Hospital Medan dilihat sebagai satu langkah yang serius daripada pihak ATM dan KKM dalam membantu mengekang wabak COVID-19 di negeri ini.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sepenuh kerjasama sepanjang tempoh operasi Hospital Medan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Medan yang terletak dalam pekarangan HSA, di sini hari ini.

Lawatan tersebut disertai Menteri Kanan (Pertahanan), YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Turut hadir Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Buang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Azmi Rohani dan Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Hospital Medan yang keenam di negara ini dilengkapkan dengan 60 buah katil dan empat katil bagi Unit Rawatan Rapi (ICU).

Hospital tersebut dijangka mula beroperasi pada Selasa ini dan menyediakan rawatan bagi pesakit COVID-19 bagi tahap 3 dan 4.

YAB Menteri Besar berkata, kewujudan Hospital Medan juga dilihat sebagai langkah advokasi kepada umum mengenai seriusnya pandemik COVID-19 di negeri ini.

Pembukaan Hospital Medan ini yang terletak di tepi jalan utama Danga dapat memperlihatkan kepada orang ramai mengenai situasi COVID-19 yang agak serius di negeri ini.

“Ia juga dilihat sebagai salah satu sumbangan yang besar daripada ATM kepada KKM, khususnya petugas barisan hadapan dalam bersama-sama menangani wabak COVID-19,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini