KOTA ISKANDAR, 26 April: Johor telah mencatat rekod dengan tiada kes positif COVID-19 dilaporkan semalam, buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Yb Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, berita baik itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negeri ini adalah kekal sebanyak 655 kes.

”Sehingga semalam (25 April 2020), tiada kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Negeri Johor adalah kekal sebanyak 17 orang.

“Setakat semalam juga, tiada kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Negeri Johor adalah kekal sebanyak 17 orang. Statistik ini menunjukkan kita semakin berjaya melawan virus pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, bermula 27 April ini, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura telah menetapkan syarat bahawa semua rakyat Malaysia di Singapura yang berhajat untuk pulang negara ini perlu mendapatkan Permit Kemasukan (Entry Permit). 

”Bagi memohon permit kemasukan tersebut, mereka perlu menyatakan butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor pasport, tarikh berlepas dan fotokopi pas pekerja, pas jangka panjang, pas penduduk tetap dan pas pelajar.

“Kesemua dokumen tersebut perlu diemailkan kepada stmsg@mhc.org.sg selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh memasuki negara ini.  Permit Kemasukan akan diemailkan kepada mereka kembali. Mereka perlu menunjukkan dokumen tersebut kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk darat di Johor Bahru,” katanya.

Kongsi berita ini