SEGAMAT, 8 November: Kerajaan Negeri Johor akan menambah baik kaedah dan cara penyampaian bantuan kepada golongan sasar yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, semua pihak termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan akan sedaya upaya mengenal pasti data golongan yang terkesan. 

“Sekiranya ada peruntukan untuk naik taraf jalan di daerah ini, saya akan cuba beri keutamaan kepada golongan belia untuk meneruskan perniagaan selain membantu usahawan-usahawan kecil untuk meneruskan perniagaan mereka. 

“Walaupun hanya satu kilang sahaja memberhentikan 10 pekerja akibat terkesan dengan kelembapan ekonomi di daerah Segamat, namun ia bukanlah perkara yang perlu diambil ringan kerana keadaan ini mampu merebak dan memberi kesan yang meluas,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall Jelajah Makmur Johor di Dewan Serbaguna Segamat, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji A. Rahim Nin selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pegawai Daerah Segamat, Tuan Haji Nasri Md. Ali.

YAB Menteri Besar turut melahirkan perasaan sedih apabila wujud beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan dalam pengagihan dan penyampaian bantuan yang sebelum ini disalurkan kepada rakyat di negeri ini.

“Menjelang Bajet 2021 yang bakal dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Johor kelak, kita akan cuba sedaya upaya menambah baik sistem penyampaian bantuan,” katanya.  – Makmur Johor

Kongsi berita ini