JOHOR BAHRU, 20 Feb: Kerajaan Negeri menyokong penuh sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) kerana ia akan memberikan banyak manfaat kepada Johor.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri berharap perbincangan mengenainya oleh Kementerian Pengangkutan dapat dilakukan segera.

“Kita mengharapkan Menteri Pengangkutan akan dapat menggerakkan semula perbincangan kerana kita kena bermula daripada sifar.

“Saya percaya HSR ini akan segera dapat dibincangkan semula kerana Johor sewajarnya menyokong penuh dan berharap agar projek HSR itu dapat dilaksanakan kerana ia banyak memberi manfaat kepada kita di negeri Johor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika merasmikan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) Johor Bahru di Hotel Renaissance, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, industri rel adalah salah satu daripada sektor yang penting dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.

Katanya, bagi memenuhi keperluan terhadap industri itu, Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) telah dipilih sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang akan menawarkan bidang pengajian dalam industri berkenaan.

“UTHM telah dikenal pasti sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi untuk memperkenalkan bidang industri rel sebagai salah satu daripada bidang kajian yang bertujuan untuk menjadikan Johor, negeri yang dapat mengeluarkan tenaga-tenaga pakar dalam industri rel dan tentunya pada masa yang sama dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat Johor,” katanya.

Mengenai SBST, YAB Menteri Besar berkata, projek itu akan menjadi pelengkap bagi sistem pengangkutan yang sedang dibina di negeri ini.

“Walaupun kita ada HSR, RTS dan Projek Kereta Api Elektrik Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, tetapi sistem bas yang meliputi kawasan yang lebih luas memang amat diperlukan.

“Hari ini SBST diperkenalkan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan  sistem perkhidmatan bas yang menjadi tulang belakang bagi sistem pengangkutan yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

SBST adalah salah sebuah projek menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di negara ini dan telah dilaksanakan di Kangar, Ipoh, Seremban dan Kuala Terengganu.

Untuk Johor, SBST akan memberi perkhidmatan di lima koridor, iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian.

Dianggarkan seramai 6.4 juta penumpang akan menggunakan perkhidmatan SBST dalam setahun.- Makmur Johor

Kongsi berita ini