ISKANDAR PUTERI, 19 Feb: Johor perlu bersedia dengan platform yang bersesuaian supaya pelbagai program bantuan disediakan Kerajaan Persekutuan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.
-
Hasni Mohammad bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai usahawan pada Majlis Perasmian Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Taman Nusantara, di sini
semalam. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, perkara itu penting kerana jika Johor tidak bersedia, segala program tersebut tidak akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya.
“Kalau banyak mana pun Perdana Menteri hendak membantu kita, banyak mana pun baik program-program yang disediakan oleh menteri untuk kita di Johor, tapi jika Johor tidak menyediakan platform yang sesuai, kita tidak punya sumber manusianya yang kukuh, ia sukar.
“Sebab itulah kerajaan tidak berlengah-lengah dalam menyediakan, dalam mewujudkan ekosistem yang baik supaya segala program-program Kerajaan Persekutuan, program-program Kerajaan Negeri, program-program pelaburan dari dalam dan luar negara akan terus dapat mencurah masuk ke negeri Johor ini.
“Akhirnya rakyat Negeri Johor ini juga yang akan dapat memanfaatkan hasil daripada pelaburan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM) yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Taman Nusantara, di sini semalam.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tan Sri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Dato’ Haji Mohd. Haffiz Ahmad. - Makmur Johor



