KOTA ISKANDAR, 14 Julai: Kerajaan Negeri Johor mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura membuka semula sempadan menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bermula 10 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, keputusan tersebut amat dinanti-nantikan oleh ramai warga kedua-dua negara dan tepat pada masanya.

”Sesungguhnya Singapura merupakan rakan strategik yang penting bagi Malaysia, khususnya Negeri Johor sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan lain-lain.

”Saya yakin pembukaan sempadan ini pastinya melegakan banyak pihak kerana mereka dapat meneruskan urusan perniagaan dan kerja masing-masing yang terjejas sejak Mac 2020 apabila kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Singapura melaksanakan Circuit Breaker atau pemutus rantaian akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, keputusan tersebut dimaklumkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura Dr. Vivian Balakrishnan dalam satu kenyataan Bersama, hari ini.

Perlaksanaan RGL dan PCA disasarkan pada 10 Ogos ini untuk memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara, membabitkan perjalanan rentas sempadan.

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara, manakala PCA membenarkan rakyat Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki negara terbabit.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor sudah bersedia terhadap pematuhan semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

”Kita juga akan membantu memudahkan semua urusan supaya pembukaan sempadan ini dapat memberi manfaat kepada warga kedua-dua negara.

”Perkara ini amat penting dalam usaha kedua-dua negara memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sebaik mungkin demi kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini