ISKANDAR PUTERI, 19 Feb: Kerajaan Negeri merangka pelbagai dasar, inisiatif dan program bagi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, secara keseluruhan pelbagai sektor yang terkesan, antaranya ekonomi, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Menurutnya, selain merancakkan sektor ekonomi, pelaburan dan perindustrian berasaskan teknologi dan digital, Kerajaan Negeri juga memberi fokus terhadap usaha pemulihan ekonomi sosial, khususnya melibatkan sektor pelancongan.

“Selepas kebenaran rentas negeri serta aktiviti pelancongan dibenarkan semula, keputusan kerajaan itu telah memberikan kelegaan kepada para penggiat industri.

“Malah, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Johor Economic, Tourism and Cultural Office (JETCO)  di Singapura bagi mempromosikan Johor sebagai destinasi ekonomi dan pelancongan di rantau ini.

“Program seperti ‘Desaru International Bike Week’, Festival Bangsa Johor dan ‘Johor Tourism Interchange’ juga mampu menjadi pemangkin untuk menarik minat pelancong datang ke Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Resepsi Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang turut dihadiri Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Sukan EduCity, di sini malam tadi.

Katanya, Majlis Resepsi Tahun Baharu Cina 2022 anjuran MOTAC itu juga merupakan usaha yang relevan untuk meningkatkan semula potensi ekonomi Johor, sekali gus menyatukan rakyat pelbagai kaum sebagai Keluarga Malaysia.

“Negeri Johor menyambut baik inisiatif atau langkah oleh pihak MOTAC kerana ia bukan sahaja dapat memberi nilai tambah tehadap pembangunan Johor, malah mampu menzahirkan rasa hormat dan meraikan perbezaan budaya antara masyarakat berbilang kaum.

 “Seiring dengan tema ‘Keluarga Malaysia’, majlis ini diharapkan dapat mengeratkan lagi jalinan hubungan mesra antara pemimpin dan rakyat,” katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Wee Ka Siong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani. -Makmur Johor.

Kongsi berita ini