JOHOR BAHRU, 8 April: Kerajaan Negeri merancang untuk mewujudkan sebuah Pusat Astronomi Johor di daerah Pontian. 

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Menurutnya, daerah Pontian adalah lokasi yang sesuai untuk tujuan itu kerana merupakan salah satu lokasi bagi melihat anak bulan bagi menentukan tarikh bermulanya Ramadan dan Syawal.

“Kita telah pun mengambil dan mengorak langkah awal dengan mendapat kerjasama yang begitu baik daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor dalam kita merangka sebuah Pusat Astronomi Johor yang bertaraf antarabangsa.

“Sejak sekian lama kita melihat anak bulan dari bumbung pejabat kerajaan di daerah Pontian dan sudah sampai masanya kita mempunyai sebuah Pusat Astronomi Johor yang lebih lengkap dan terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-65 dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor, Tahun 2021M / 1442H di Pusat Islam Iskandar, di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut menyifatkan tema ’Islam Memacu Kemakmuran’ sebagai satu idea besar untuk pemerkasaan agama Islam di Johor.

“Terdapat pelbagai cara dan pendekatan yang digunakan. Umpamanya, governans Kerajaan Johor, harus kita sandarkan dengan nilai amanah pada tahap tertinggi kerana amanah itu adalah nilai yang sangat penting dalam sistem governans Islam.

“Kita akan galakkan masyarakat Johor untuk membayar zakat dan bukanlah memaksa. Kita mahu masyarakat sedar bahawa dalam setiap rezeki yang diperolehi, ada bahagian orang lain yang lebih memerlukan,” katanya.

Umat Islam di negeri ini juga digalakkan untuk berwakaf, berinfaq dan bersedekah sepanjang masa, bukan hanya apabila tibanya bulan Ramadan.

“Kita akan perkasakan sistem pengurusan wakaf dan infaq dengan penggunaan ‘big data’ dan ‘artificial intelligence’.

“Daripada aspek pendidikan, kita mahu sekolah-sekolah agama kita menjadi gedung terbaik untuk menuntut ilmu. Sekolah agama di Johor harus menjadi institusi pendidikan agama yang paling komprehensif dan terbaik,” katanya.

Pada majlis itu, qari dari daerah Kota Tinggi, Ahmad Solihin Baharim dan qariah daerah Muar, Nur Farhan Fifi Hanifah muncul sebagai Johan Tilawah Al-Quran Kali Ke-65.

Kedua-dua juara membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM15,000 dan akan mewakili negeri Johor ke pertandingan di peringkat kebangsaan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, YB Tuan Haji Tosrin Jarvanthi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Dato’ Haji Md. Rofiki Dato’ A. Shamsuddin. – Makmur Johor

Kongsi berita ini