JOHOR BAHRU, 11 Sept: Kerajaan Negeri Johor sudah memulakan persiapan untuk pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan remaja berumur di bawah 18 tahun.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, perkara itu dilakukan bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah apabila program itu dilaksanakan kelak.

Menurutnya, pengalaman membuka dan menguruskan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi golongan dewasa sebelum ini akan diguna pakai dan ditambah baik bagi memastikan program pemberian vaskin untuk golongan remaja di negeri ini berjalan lancar.

“Johor sudah pun mula menyusun perancangan dan melihat kepada mereka yang di bawah 18 tahun untuk kita susun dan guna pengalaman-pengalaman sewaktu menggerakkan PPV dan juga penjadualan vaksin supaya jangan ada masalah sama berulang. Contohnya, apabila kita buka PPV, tetapi jumlah kehadiran ke PPV itu tidak seperti mana yang dirancang.

“Untuk umur 18 ke bawah ini mungkin lebih mudah kerana mereka mungkin berada di institusi pengajian tinggi atau di sekolah. Jadi saya percaya penyusunan itu akan dibuat lebih teratur.

“Kita ini sedang merancang untuk memulakan seberapa segera pemberian vaksin untuk mereka yang di bawah 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat program PPV secara ‘outreach’ di Dewan Taman Perbadanan Islam, di sini hari ini.

Johor juga akan memperluaskan lagi program PPV secara ‘outreach’ bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini mendapat suntikan vaksin.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar memaklumkan, sebanyak 10,000 dos vaksin CanSino akan diterima minggu ini, sekali gus  merancak dan memperluaskan lagi proses pemberian vaksin di negeri ini.

“Vaksin jenis ini dirancang untuk kegunaan masyarakat di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses termasuklah di kawasan perkampungan Orang Asli kerana ia cuma membabitkan satu suntikan. Tetapi oleh kerana ia lambat tiba, kita teruskan juga dengan pemberian vaksin-vaksin jenis lain. 

“Sekarang ini sudah banyak kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli telah menerima vaksin pertama,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan vaksin CanSino itu juga akan memudahkan petugas barisan hadapan memberi suntikan kepada individu yang sukar bergerak atau mengunjungi PPV.

“Kita akan tumpu pemberian vaksin ini di tempat yang susah dicapai. Ataupun mungkin kepada golongan ataupun kelompok yang mungkin susah untuk ke PPV, mungkin dia kerja di laut, mungkin seminggu baru balik. Jadi, golongan-golongan ini yang akan kita beri tumpuan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini