JOHOR BAHRU, 2 Januari: Kerajaan negeri mahu supaya projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dapat diteruskan walaupun tidak melibatkan stesen di Singapura dalam perancangan baharunya.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat besar kepada negara, malah juga negeri Johor.

Beliau berkata, Johor akan menerima limpahan paling besar kerana sebahagian besar projek HSR melibatkan pembangunan di negeri ini.

“Dengan pembatalan projek tersebut saya percaya kerajaan mempunyai perancangan yang lebih baik untuk Johor oleh kerana lebih 300 kilometer jajaran kereta api itu berada di Johor.

“Jadi, sekiranya projek itu boleh memberi impak kepada negara, maka Johor adalah negeri yang akan menerima kesan langsung faedah daripada pembangunan HSR ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Semalam, YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong  dalam kenyataan bersama mengumumkan pembatalan projek HSR kerana tiada kata putus dapat dicapai antara kedua-dua negara.

Pembatalan projek itu turut menyaksikan Malaysia perlu membayar pampasan dianggarkan berjumlah RM300 juta kepada Singapura.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri berharap sebarang perbincangan baharu melibatkan projek itu akan turut mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat dan limpahan daripada pelaksanaannya.

“Saya berharap apbila kerajaan menjalankan kajian semula ini, kerajan negeri dilibatkan bagi memastikan kepentingan rakyat di Johor ini diberi keutamaan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini