KOTA ISKANDAR, 6 Jan: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Pindaan terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 itu diluluskan selepas dibahas oleh empat ADUN, iaitu masing-masing dua bagi pihak kerajaan dan pembangkang pada sesi Mesyuarat bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad ketika membawa rundingan itu berkata, pindaan Fasal 16 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 adalah bermaksud untuk menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
“Pindaan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun ini telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Disember 2021.
“Berdasarkan peruntukan ini, setiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam Negeri Johor layak menjadi seorang Ahli Dewan Negeri, melainkan orang tersebut tertegah dan tidak mencukupi syarat menjadi Ahli Dewan,” jelasnya.
YAB Menteri Besar berkata, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan pindaan kelayakan umur Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negeri kepada 18 tahun menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang telah diwartakan pada 10 September 2019.
“Justeru, dengan itu adalah dipohon agar Rang Undang-Undang yang dibentang ini diluluskan oleh Dewan Negeri bagi membolehkan pindaan terhadap Fasal 16 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 mengenai had umur kelayakan 21 tahun dipinda kepada 18 tahun bagi Ahli Dewan Negeri,” katanya.
Sementara itu, Speaker Dewan Negeri Johor, YB Tuan Haji Suhaizan Kaiat ketika memaklumkan perkara berkenaan berkata, enakmen itu akan berkuat kuasa menerusi pemberitahuan dalam warta.
“Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021. Dan Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri menerusi pemberitahuan dalam warta,” katanya.
Beliau kemudiannya menangguhkan persidangan Dewan Negeri ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. - Makmur Johor



