KOTA ISKANDAR, 6 Jan: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Dato’ Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Ucapan berkenaan disampaikan oleh Speaker DUN Johor, YB Tuan Haji Suhaizan Kaiat sebelum memulakan Persidangan Ketiga bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

“Dukacita dimaklumkan mantan Menteri Besar, Dato’ Osman Sapian yang mula berkhidmat mulai 12 Mei 2018 hingga 13 April 2026 telah kembali ke rahmatullah pada 21 Disember 2021.

“Allahyarham juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang berkhidmat mulai 29 November 2025 hingga 2 April 2026 serta 11 Mei 2018 hingga 20 Disember 2021, selama tiga penggal.

“DUN Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarganya dan marilah kita doakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Ahli Dewan yang beragama Islam sedekahkan ucapan Alfatihah kepada Allahyarham, manakala yang bukan Islam bertafakur berdiri selama seminit,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Osman yang merupakan Menteri Besar Johor Ke-16 meninggal dunia di ibu negara pada pukul 11.45 malam.

Allahyarham sebelum itu dilaporkan diserang penyakit angin ahmar pada pertengahan Oktober tahun lalu ketika berada di kediamannya di Johor Bahru.

Pada awal November lalu, keadaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam itu dilaporkan stabil, namun masih belum pulih sepenuhnya sebelum dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 21 Disember 2021. - Makmur Johor

Kongsi berita ini