KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Kerajaan Negeri kehilangan hasil berjumlah RM34.41 juta menerusi pelaksanaan empat inisiatif dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 3.0 yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, kehilangan hasil itu termasuk pengecualian pembayaran sewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).

Menurutnya, inisiatif berkenaan melibatkan seramai 8,743 penyewa yang akan diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan (SUK Perumahan).

“Kedua, penangguhan bayaran lesen penjaja atau perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (mikro), sewa premis dan gerai, sewa tapak pasar malam dan pasar pagi dan pengecualian ini hingga Disember 2021.

“Ketiga, pengurangan sewaan bulanan sebanyak 50 peratus kepada penyewa premis dan inkubator Perbadanan Islam Johor (PIJ) yang bermula pada bulan Jun hingga Disember 2021 dan keempat, pelanjutan pengenaan denda lewat bayaran cukai tanah hingga 30 September 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor, di sini hari ini.-Makmur Johor

Kongsi berita ini