MERSING, 19 September: Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menandatangani perjanjian bagi membangunkan projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV), di sini semalam.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, perjanjian tersebut adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri ini sebagai hab makanan serantau.

“Kerajaan Negeri merancang untuk mengembangkan sektor pertanian dan berhasrat menjadi pengeksport makanan utama serta ‘food bank’ untuk negara pengeksport lain.

“Projek ini juga sejajar dengan Agenda Bekalan Makanan Negeri Johor serta Inisiatif Bank Makanan Johor yang merupakan salah satu usaha di bawah Tujuh Ikhtiar Makmur Johor untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (CA) Bagi Projek JDV di Pulau Rawa, di sini.Perjanjian itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani mewakili Kerajaan Negeri Johor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim bagi pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SSI).

ECERDC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Baidzawi Che Mat.

JDV adalah salah satu komponen Lembah Tenusu ECER yang dirancang oleh ECERDC bagi mewujudkan industri susu yang cekap dan mampan merentasi kawasan Jemaluang, Mersing; Setiu, Terengganu; Pahang Barat dan Lojing, Kelantan.

Projek ini bakal dibangunkan di atas tanah seluas 275 hektar yang terletak di daerah ini.

Apabila beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, JDV dijangka mengeluarkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun, sekali gus meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus.

Peningkatan penghasilan susu segar akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk tenusu import yang dianggarkan bernilai RM3.9 billion pada tahun 2019.

Selain itu, projek JDV juga dijangka akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu dan 30 agropreneur dalam kalangan masyarakat tempatan di daerah ini.

JDV juga merupakan sebuah projek perniagaan tani utama di bawah agrofood@ECER, iaitu inisiatif bersepadu untuk produk pertanian dan makanan yang merangkumi projek pembangunan Lembah Tenusu ECER.

Kongsi berita ini