KOTA ISKANDAR, 30 Mei: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merekodkan tiga kes baharu di daerah Johor Bahru, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, tiga kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Johor sebanyak 674 kes. 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 31 adalah kes aktif, namun tiada kes kematian direkodkan yang menjadikan kes kematian di Johor kekal sebanyak 19 orang. 

“Kronologi bagi kes ke-672 merupakan seorang lelaki berumur 66 tahun yang telah dikesan positif semasa rawatan untuk penyakit kanser di hospital.  Kes telah dimasukkan ke Hospital Kluang bagi tujuan rawatan dan pengasingan.  Sejarah pergerakan  dan kontak pesakit masih lagi dalam siasatan.

“Untuk kes ke-673 merupakan seorang lelaki yang berumur 58 tahun dan bekerja di kapal dengan sebuah syarikat perkapalan sejak November 2019.

“Kes dikesan semasa saringan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru apabila pesakit tersebut menjalani prosedur untuk turun  dari kapal di pintu masuk antarabangsa.  Sebanyak 33 kontak rapat telah disaring dan sedang menjalani kuarantin di atas kapal selama 14 hari.  Keputusan saringan kontak masih belum diperoleh dan pesakit telah dimasukkan ke Hospital Permai bagi rawatan dan pengasingan,” katanya.

YB Vidyananthan berkata, kes ke-674 melibatkan pesakit warga Bangladesh yang dikesan positif semasa saringan pekerja industri dijalankan oleh pihak majikan.

“Seramai 216 pekerja lain juga telah disaring pada hari yang sama dan keputusan mereka adalah negatif.  Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Kluang bagi rawatan dan pengasingan,” katanya.

Mengenai kebimbangan masyarakat terhadap penularan kes COVID-19 di Depoh Tahanan Imigresen di negeri ini, beliau berkata Johor mempunyai sebuah Depoh Tahanan Imigresen, iaitu di Pekan Nanas, Pontian. 

Hingga 28 Mei lalu, tiada kes COVID-19 yang dilaporkan berlaku di DTI tersebut.

Bagi mengekang penularan COVID-19 di  DTI, kesemua kemasukan baharu akan disaring terlebih dahulu. 

“Hanya tahanan yang bebas COVID-19 akan dibenarkan masuk ke DTI tersebut. Sekiranya ada yang didapati positif semasa saringan, pendatang tersebut akan segera dirujuk ke hospital bagi rawatan dan pengasingan. 

“Selain itu, semua anggota yang bertugas di DTI Pekan Nanas juga akan menjalani pemeriksaan saringan C0VID-19 bagi memastikan mereka bebas,  sekali gus mengelakkan penularan virus maut itu dalam kalangan tahanan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini