JOHOR BAHRU, 26 Julai: Kerajaan Negeri Johor akan memberikan sepenuh kerjasama bagi memastikan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka bermula seawal 17 Ogos ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, usaha pembukaan semula sempadan menerusi perlaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) penting supaya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik secara harian dibenarkan melalui sempadan.

”Pertemuan Menteri Luar, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan merupakan satu pertemuan yang amat bersejarah dan penting bagi Kerajaan Negeri Johor.

”Ini kerana pertemuan tersebut melibatkan perbincangan mengenai soal kesiapsiagaan kita untuk membuka sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama-sama YB Dato’ Seri Hishammuddin di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar, Bukit Chagar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, YAB Menteri Besar mengiringi YB Dato’ Seri Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Dr. Vivian dan wakil kedua-dua negara membincangkan isu berkaitan perlaksanaan RGL dan PCA sebelum melawat Tambak Johor.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana berusaha gigih membuka semula sempadan dan kini semakin hampir untuk dimuktamadkan oleh kerajaan kedua-dua negara. – Makmur Johor

Kongsi berita ini