KOTA ISKANDAR, 6 September: Kerajaan Negeri Johor bakal menerima sumbangan sebanyak 100,640 dos vaksin Pfizer daripada Singapura dalam masa terdekat.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda persahabatan yang erat antara Johor dan Singapura.
Menurutnya, sebelum ini, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.
“Tambahan lagi, Kerajaan Negeri juga menerima 300,000 dos vaksin SinoPharm hasil sumbangan daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu.”
Sehubungan itu, dalam kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada mantan Menteri Luar Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha untuk mendapatkan dan memudah cara proses penerimaan vaksin tersebut ke Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran sebanyak 100 peratus populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas untuk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 16 September ini dan lengkap dua dos menjelang minggu ketiga Oktober depan.
Hingga 4 September lalu, sebanyak 83.08 peratus bersamaan dengan 2,253,168 penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 52.61 peratus (1,426,866) telah lengkap dua dos.
“Untuk rekod, jumlah vaksin yang telah diterima oleh Negeri Johor di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula tarikh permulaan vaksinasi di Negeri Johor dalam tempoh 1 Mac 2021 hingga 5 September 2025 adalah sebanyak 4,713,800 dos.
“Vaksin yang diterima ini merangkumi vaksin Pfizer dengan jumlah sebanyak 2,460,510 dos, vaksin Sinovac sebanyak 1,842,540 dos dan AstraZeneca sebanyak 410,750 dos,” katanya. - Makmur Johor.



