KOTA ISKANDAR, 6 September: Kerajaan Negeri Johor menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah memperkenalkan Program Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (I-PAC) dalam usaha memastikan kepatuhan dan pembudayaan norma baharu diikuti oleh rakyat Johor.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, menerusi program ini, pemimpin tempatan berperanan membantu JKNJ dan agensi-agensi penguatkuasaan di negeri ini memberi advokasi berhubung pembudayaan norma baharu kepada rakyat di negeri ini.
”Pada masa yang sama, JKNJ juga telah melancarkan inisiatif Virtual COVID-19 Assessment Centre (V-CAC) yang bertujuan untuk memudah cara pengurusan pesakit positif COVID-19.
“Menerusi inisiatif ini, pencarian kontak rapat dapat dilakukan selain dapat mengurangkan keberadaan fizikal individu di semua 111 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang beroperasi di seluruh Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini.
YAB Menteri Besar berkata, kerjasama strategik dalam usaha memastikan penularan wabak COVID-19 dan kesedaran awam berhubung wabak itu turut diperkasakan menerusi langkah strategik pada peringkat pelaksanaan dengan agensi berkaitan.
”Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, penghulu-penghulu dan Jabatan Perpaduan dibantu sukarelawan Southern Volunteers turut digerakkan menerusi program yang menggalakkan pendaftaran program vaksinasi di negeri ini,” katanya. - Makmur Johor



