KOTA ISKANDAR, 22 Ogos: Kerajaan Negeri mengunjurkan ekonomi Johor berkembang pada kadar 3.0 hingga 5.0 peratus pada tahun ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, jangkaan itu berdasarkan unjuran peringkat nasional yang telah dikemas kini oleh Bank Negara Malaysia (BNM),  iaitu pada 3.0 hingga 4.0 peratus.

Menurutnya, ekonomi Johor pada tahun 2021 kekal pada landasan pemulihan kerana didorong oleh dua faktor.

“Pertama, kadar vaksinasi negeri Johor semakin meningkat, sekali gus membenarkan Johor untuk ke fasa-fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula secara beransur-ansur akan memulihkan sentimen isi rumah dan perniagaan.

“Ekonomi Johor akan menerima faedah limpahan kesan positif daripada peningkatan permintaan luaran, permintaan terpendam domestik serta pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan prestasi ekonomi Johor pada  Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, faktor kedua ialah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 yang dilaksanakan telah berjaya memberikan sokongan aliran tunai, khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

Mengenai kedudukan kewangan Negeri Johor, beliau berkata, ia pada tahap stabil dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan (Rizab Negeri) berjumlah RM1.38 bilion berdasarkan penyata kewangan pada 17 Ogos lalu.

Jelasnya, prestasi hasil Kerajaan Johor yang telah dikutip hingga 17 Ogos adalah berjumlah RM1.05 bilion atau 65.29 peratus berbanding anggaran asal. 

“Bagi prestasi perbelanjaan mengurus pula adalah sebanyak RM865.80 juta dengan peratusan sebanyak 46.62 peratus.

“Prestasi perbelanjaan menunjukkan peningkatan sebanyak RM68.10 juta berbanding perbelanjaan pada tarikh yang sama tahun lalu.

“Berdasarkan prestasi berkenaan, kedudukan kewangan Johor pada ketika ini adalah berada pada kedudukan ‘surplus’ dengan lebihan berjumlah  RM184.72 juta,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini