KOTA ISKANDAR, 22 Ogos: Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan tambahan kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD).
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, peruntukan tambahan itu bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan segera kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19 di kawasan masing-masing.
“Hari ini, kerajaan Johor bersetuju untuk memperuntukkan tambahan RM150,000 kepada semua 56 ADUN Johor.
“Tambahan RM100,000 lagi kepada Pengerusi JPKD DUN negeri ini.
“Saya berharap peruntukan tambahan ini disalurkan kepada rakyat terjejas untuk kebajikan dan kemashalatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan YB Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) dalam Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.
Pada 29 Julai lalu, YAB Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua 56 ADUN Johor dan 27 JPKD.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk negeri ini yang terjejas akibat COVID-19.
“Agensi negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya e-Kasih turut menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat yang terjejas termasuk kewangan, bekalan makanan dan banyak lagi.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga termasuk Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah turut aktif menyalurkan bantuan kepada rakyat terjejas akibat COVID-19,” katanya. - Makmur Johor
