JOHOR BAHRU, 21 Februari: Kerajaan Negeri kini dalam peringkat akhir penggubalan Dasar Agro Makanan Negeri Johor 1.0 (DanJo 1.0).
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, dasar itu dibuat bagi memastikan pembangunan sektor tersebut lebih tersusun dan berstruktur.
“Penggubalan Dasar Agro Makanan ini dibuat bagi membolehkan kita (Kerajaan Negeri) merangka perancangan jangka panjang.
“Perancangan ini termasuklah meningkatkan pengeluaran makanan dan menambah bilangan pengusaha yang terlibat dalam pengeluaran makanan ini.
“Selain itu, dasar ini juga melibatkan sektor pertanian, khususnya daripada segi penggunaan teknologi dan pasaran yang akan ditambah baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Kepada Penyumbang Agro Makanan Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.
-
Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali bergambar bersama penerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan kepada Penyumbang Agro Makanan Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru hari ini. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Haji Alang Mad Daud Dawan.
-
Hasni Mohammad beramah-mesra bersama penerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan kepada Penyumbang Agro Makanan Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru hari ini. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyediakan bantuan termasuk dalam bentuk geran bagi membantu usahawan agro makanan terus berkembang di negeri ini.
“Kerajaan memberi tumpuan yang serius kerana minat pengusaha-pengusaha agro makanan yang ditunjukkan khususnya sewaktu kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).
“Ramai antara pengusaha agro makanan beralih kepada berniaga secara dalam talian. Kita ingin terus perluaskan lagi bukan hanya daripada segi menambah bilangan usahawan, malah juga membantu mengenal pasti pasaran yang lebih besar daripada apa yang ada pada hari ini,” katanya. - Makmur Johor.


