KUALA LUMPUR: Filem animasi Upin dan Ipin : Keris Siamang Tunggal gagal terpilih dalam senarai lima calon akhir kategori Filem Animasi Terbaik, Anugerah Akademi 2020.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi memberitahu, keputusan panel penilaian anugerah berprestij itu sudah dijangka.

“Sedari awal lagi saya sedar bukan mudah untuk menjadi calon top 5 Oscar. Tapi kita boleh berbangga kerana sudah berada pada tahap itu. Untuk menjadi calon akhir apatah lagi menang, memang sulit.

“Bayangkan, filem animasi dari China berjudul Ne Zha yang menjadi fenomena di seluruh dunia pun gagal bolos calon Top 5,” katanya kepada BH Online.

Penganjur Anugerah Akademi 2020 malam tadi mengumumkan lima calon akhir kategori Filem Animasi Terbaik iaitu How to Train Your Dragon: The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link dan Toy Story 4.

Biarpun tidak terpilih, Burhanuddin bangga Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal membuka mata pemerhati filem antarabangsa serta menyuntik semangat penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya bermutu.

“Apa yang pasti filem kami sudah berada dalam arkib penganjuran anugerah ini,” katanya yang ketika ini berada di Bangkok, Thailand. Tambah Burhanuddin, bukan mudah terpilih sebagai lima calon akhir Oscar.

Kongsi berita ini