KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Bagi menghargai sumbangan pengamal media dan penggerak Info on Wheels yang membuat penerangan dan advokasi tentang pandemik COVID-19, sebanyak RM500 diberikan kepada mereka menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pemberian itu dijangka bakal memberi manfaat kepada 300 individu terlibat yang berdaftar di negeri ini.

”Buat pertama kali dalam tempoh pandemik ini, Kerajaan Negeri menyalurkan pemberian sebanyak RM500 kepada individu terlibat dan akan diselaraskan oleh Jabatan Penerangan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor.

Selain itu, tambahnya, manfaat PRE Ihsan Johor 3.0 diperluaskan dengan pemberian bantuan sebanyak RM500,000 kepada persatuan dan penggiat seni di negeri Johor.

”Sebanyak RM1,000 akan diberi kepada 11 badan gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor, manakala RM1,000 juga kepada 10 Majlis Kebudayaan Daerah dan RM500 kepada 958 penggiat seni yang terkesan dengan pandemik ini. Inisiatif ini akan diselaraskan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ),” katanya.

YAB Menteri Besar berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 turut tidak melupakan golongan pelajar yang mengikuti program Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

”Kerajaan Negeri akan melaksanakan Bantuan Sumbangan Peranti kepada sekolah seluruh Johor. Peranti ini nanti akan dijadikan sebagai aset sekolah dan kemudahan ini dipinjamkan kepada seramai 8,000 pelajar yang kurang berkemampuan.

”Selain itu, satu elaun khas juga akan diberikan kepada setiap penggerak Southern Volunteers (SV), iaitu sebanyak RM50 sehari yang akan melibatkan hampir 400 penggerak setiap hari. Ini adalah untuk menggalakkan peranan penggerak dalam membantu frontliners menjayakan pendaftaran vaksin di seluruh Johor,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini