KOTA ISKANDAR, 28 Mei: Kelengkapan perubatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan dan mesin ventilator di negeri ini masih mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menghadapi wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, pemantauan harian stok PPE menunjukkan bekalannya mencukupi bagi semua 16 jenis peralatan untuk  tempoh 27 hingga 187 hari.

“Selain itu, bagi 12 hospital kerajaan di negeri Johor, terdapat 208 unit ventilator secara keseluruhan dan jumlah itu mencukupi untuk merawat pesakit COVID-19 dan pesakit biasa.

“Hospital di negeri ini yang menyediakan rawatan kepada  pesakit kritikal COVID-19, iaitu Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang mempunyai 40 unit ventilator yang boleh digunakan dan pihak hospital swasta juga (menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)) memberi pinjaman jangka pendek 10 unit ventilator kepada HEBHK untuk diguna pakai bagi tujuan ini. Selain yang diperoleh KKM, hospital kerajaan negeri Johor turut menerima sumbangan ventilator daripada pelbagai yayasan dan badan korporat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat 16 jenis peralatan PPE yang digunakan oleh petugas kesihatan antaranya, penutup hidung dan mulut, topeng N95, apron plastik, pelindung muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman.

Penggunaan dan pemakaian jenis PPE berdasarkan lokasi mereka bertugas dan sama ada perlu melakukan prosedur invasive, katanya.

“Pelbagai pihak turut menyumbang penghasilan PPE ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu, persatuan dan kakitangan kesihatan serta Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Jabatan Penjara Malaysia.

“Petugas kesihatan juga sentiasa diingatkan untuk mematuhi pemakaian PPE yang bersesuaian berdasarkan skop dan lokasi bertugas bagi mengelakkan pembaziran,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini