KOTA ISKANDAR, 29 November: Kerajaan Negeri Johor akan memulakan usaha  mengumpul dan memperkemaskan pelbagai maklumat mengenai rakyat bagi memastikan penyampaian bantuan pada masa depan akan lebih efisien.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, usaha tersebut akan direalisasikan menerusi Agenda Johor Digital selain pertimbangan untuk melakukan bancian kemiskinan dan keadaan isi rumah.

”Bancian ini akan diadakan secara dalam talian, menerusi mekanisme yang terperinci dan telus agar maklumat yang sahih boleh diproses dan diterima pakai. Ia adalah penting agar polisi dan intervensi berkenaan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. 

“Bancian ini juga akan melibatkan data-data daripada Kementerian Kewangan Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan data sedia dalam Sistem E-Ihsan Johor,” katanya semasa Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, menerusi Belanjawan Johor 2021, pelbagai inisiatif perlindungan sosial telah dibentangkan.

“Antaranya melibatkan bantuan seperti RM300 kepada penerima bantuan, RM500 pemandu teksi, RM150 kepada mahsiswa, RM500 kepada pengusaha bas, RM100 kepada pemandu e-hailing, RM100 kepada pelajar sekolah dan banyak lagi.

“Semoga usaha bantuan bersasar ini akan lebih efisien dalam meringankan beban rakyat ekoran pandemik COVID-19 ini. Pada masa akan datang, bantuan bersasar akan dipertingkatkan dan diperluaskan merentasi pelbagai golongan yang memerlukan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini