KOTA ISKANDAR, 21 September: Atlet-atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 dari negeri ini menyifatkan insentif yang diberikan Kerajaan Negeri Johor sebagai pembakar semangat untuk mereka beraksi lebih cemerlang pada masa depan.
Atlet berbasikal Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), khususnya mengenai pembangunan sukan di negeri ini wajar mendapat pujian.
Katanya, Kerajaan Negeri dan MSNJ sudah melakukan yang terbaik dan berharap inisatif tersebut dapat diteruskan pada masa depan untuk menggalakkan lagi ramai atlet berusaha lebih gigih untuk mencapai yang terbaik dalam sukan diceburi mereka.
“Daripada segi fasiliti sukan pula, Johor merupakan antara negeri mempunyai fasiliti yang terbaik, selain veledrom di Nilai, Negeri Sembilan, saya dan jurulatih juga bercadang untuk memulakan latihan di Veledrom di Iskandar Puteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Penyampaian Insentif Atlet dan Jurulatih Negeri Johor Ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.
-
Hasni Mohammad menyampaikan replika cek bernilai RM15.000 kepada atlet acara berbasikal pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada sesi Penyampaian Insentif Atlet dan Jurulatih Negeri Johor Ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Insentif tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad.
Antara penerima insentif tersebut ialah pemenang pingat perak acara Boccia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Chew Wei Lun.
Beliau menerima insentif sebanyak RM15,000, iaitu RM10,000 untuk pingat perak yang dimenanginya dan RM5,000 menerusi penyertaan dalam sukan berprestij itu baru-baru ini.
Atlet lain dan jurulatih pula menerima RM5,000 setiap seorang sebagai insentif penyertaan.
Yang turut hadir pada majlis penyampaian tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah MSNJ, Nor Syazlan Abd. Razak.
Dalam pada itu, Wei Lun turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor atas insentif yang disalurkan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan juga MSNJ yang mengiktiraf atlet paralimpik. Saya amat gembira dapat menyumbang sesuatu untuk negeri ini.
“Pada masa akan datang, saya akan cuba yang terbaik untuk layak ke Olimpik, sekali gus menyumbang pingat kepada negara,” katanya. - Makmur Johor.

