KOTA ISKANDAR, 21 September: Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menyalurkan insentif kepada atlet dan jurulatih negeri ini yang beraksi cemerlang dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, insentif itu sebagai tanda penghargaan atas kejayaan dan pencapaian atlet dan jurulatih dari negeri di peringkat antarabangsa.

”Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para atlet khususnya di negeri ini yang berjaya dalam acara dipertandingkan. Tahniah juga diucapkan kepada para jurulatih yang membimbing atlet-atlet kita.

”Sesungguhnya, kejayaan ini menjadi perhatian dan ia membawa makna yang besar. Ia bukan hanya sejarah kepada atlet itu, malah kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, YAB Menteri Besar menyampaikan insentif kepada lapan penerima terdiri daripada enam atlet dan dua jurulatih di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Antara penerima insentif tersebut ialah pemenang pingat perak acara Boccia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Chew Wei Lun. 

Beliau menerima insentif sebanyak RM15,000, iaitu RM10,000 untuk pingat perak yang dimenanginya dan RM5,000 menerusi penyertaan dalam sukan berprestij itu baru-baru ini. 

Atlet lain dan jurulatih pula menerima RM5,000 setiap seorang sebagai insentif penyertaan.

Yang turut hadir pada majlis penyampaian tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah MSNJ, Nor Syazlan Abd. Razak.

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri Johor akan meningkatkan lagi usaha daripada segi penyediaan infrastruktur sukan di negeri ini supaya selari dengan kejayaan para atlet.

Katanya, menerusi mesyuarat Lembaga Perbadanan Stadium baru-baru ini, beliau menekankan tentang penyelenggaraan pengurusan aset supaya fasiliti dan infrastruktur sukan di negeri ini berada dalam keadaan terbaik dan menepati piawaian antarabangsa.

”Kita mahu menjadikan negeri ini yang terbaik daripada segi pengurusan Sukan Malaysia 2020 (SUKMA XX JOHOR 2020)  menerusi fasiliti yang ada.

“Pada masa yang sama, infrastruktur sukan seperti veledrom yang telah disiapkan untuk SUKMA XX JOHOR 2020 seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk digunakan atlet sebelum ia berlangsung pada 2024 nanti,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini