KOTA ISKANDAR, 27 Mei: Jumlah kes COVID-19 yang melibatkan warga asing yang dilaporkan di Negeri Johor hingga 25 Mei lalu adalah 44 orang. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, daripada jumlah berkenaan hanya 17 melibatkan pekerja asing. 

“Hingga kini, hampir kesemua kes telah sembuh dan hanya tujuh kes yang masih dirawat di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri peka terhadap kebimbangan rakyat Johor berkenaan peningkatan kes COVID-19 membabitkan pekerja asing di negara ini.

Menerusi prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Semula Ekonomi, majikan dipertanggungjawabkan untuk memastikan pekerja mereka, khususnya warga asing menjalani ujian COVID-19 sebelum dibenarkan bertugas.  

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Johor telah diminta untuk menyediakan perkhidmatan penyaringan pekerja menerusi Program Saringan Prihatin (PSP). Hingga 16 Mei lalu, 141,538 permohonan telah diterima oleh pihak Perkeso dan daripada jumlah itu, sebanyak 48,769 melibatkan pekerja asing.  

“Bagi pekerja  yang tidak berdaftar dengan Perkeso, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan pekerja mereka disaring ujian COVID-19 di klinik-klinik swasta yang telah ditetapkan. 

“Majikan yang tidak melakukan ujian COVID-19 ke atas pekerja asing mereka boleh dikenakan tindakan oleh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

YB Vidyananthan berkata, selain bertanggungjawab melakukan ujian COVID-19, majikan turut bertanggungjawab untuk memastikan pelbagai SOP yang ditetapkan kerajaan dilaksanakan.

“Ia termasuk pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki premis, penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer, kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruang guna sama dan mengamalkan penjarakan sosial selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter termasuk di ruang kerja dan makan dengan mengelakkan 3S, iaitu di ruang sempit, sesak dan sembang dekat,” katanya.

“Para pekerja yang mempunyai kediaman sendiri juga perlu mematuhi dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan tersebut di samping mengambil inisiatif untuk kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan rumah atau tempat kediaman masing-masing,” katanya.

Majikan juga perlu menggalakkan pekerja memuat turun dan mengguna pakai aplikasi pengawasan penularan wabak COVID-19 yang disyorkan kerajaan (MySejahtera dan MyTrace Malaysia).

“Bagi pendatang asing tanpa izin (PATI), pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen mempunyai SOP sendiri untuk memastikan mereka ditahan dan dihantar ke depoh tahanan yang ditetapkan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini