KOTA ISKANDAR, 30 April 2020: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor menerima sebanyak 398 permohonan daripada pihak majikan yang ingin membuat pemberhentian dan pengurangan gaji melibatkan  seramai 15,597 pekerja di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, permohonan untuk melaksanakan pengurangan gaji membabitkan 11,110 pekerja, 2,864 pemberhentian sementara, 1,443 pemberhentian tetap dan 180 pemberhentian secara sukarela.

“Selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955, pihak majikan diwajibkan  untuk mengemukakan sebarang penyata perihal pekerja sama ada pengambilan atau pemberhentian pekerja melalui Borang Pemberhentian Kerja (PK),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, jabatan berkenaan turut memantau majikan dan syarikat penyedia penginapan berpusat (CLQ) yang terlibat secara langsung dalam menguruskan tempat kediaman bagi pekerja asing yang ada di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 26 CLQ yang diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di negeri Johor telah diberi garis panduan/ prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKP bagi memastikan tiada penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di hostel.

“Majikan yang menyediakan penginapan sendiri kepada para pekerja turut diberi khidmat nasihat oleh pihak jabatan agar sentiasa mementingkan aspek kebersihan di kawasan penginapan dan  menjaga jarak sosial dalam kalangan pekerja,” katanya.

YB Vidyananthan turut memaklumkan, hingga kini sebanyak 110 premis telah digazetkan sebagai pusat kuarantin yang terdiri daripada institut latihan awam (ILA) dan premis penginapan pelancongan (PPP)/ hotel. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 57 pusat kuarantin telah diaktifkan dan 43 daripadanya terdiri daripada hotel, iaitu 33 buah di daerah Johor Bahru, enam di Kota Tinggi, dua di Batu Pahat dan masing-masing sebuah di Kulai dan Mersing.

“Bagi warganegara Malaysia dari luar negara yang ditempatkan di pusat kuarantin, kerajaan menanggung bayaran sebanyak RM150 yang merangkumi kos sewa penginapan dan tiga kali makan sehari,” katanya.

Kongsi berita ini