KOTA ISKANDAR, 29 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada kenaikan harga barangan secara mendadak dilaporkan di semua premis perniagaan di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, sepanjang tempoh PKP, KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 2,772 premis merangkumi 2,335 peruncit, 283 pemborong dan 85 pengilang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum adalah mencukupi. Pemeriksaan khas ini turut memberi tumpuan ke barangan keperluan asas seperti barang kering, barang segar, barangan sedia bungkus, minuman dan barangan keperluan lain. 

“Antara contoh barangan keperluan lain yang diperiksa termasuk beras, roti, susu tepung, sardin, biskut, mee segera, ayam segar, telur ayam, kopi, teh, sayur, topeng muka, hand sanitizer, tisu tandas, lampin bayi, ubat dan barang-barang lain.

“Setakat ini, kesemua barangan yang disebut tadi mencukupi dan tiada kenaikan barangan secara mendadak dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Vidyananthan memberitahu, KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan sepanjang tempoh PKP ini.

“Sekiranya ditemui mana-mana peniaga menaikkan harga barang, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 atas kesalahan mencatut sekiranya pihak terbabit didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Kongsi berita ini